June 27, 2014

Warna-Warni Aidilfitri 2014 di Mahkota Parade




Warna-Warni Aidilfitri 2014 anjuran Kraftangan Malaysia Cawangan Melaka telah bermula hari ini. Orang ramai dijemput ke Concourse, Mahkota Parade hingga 6 Julai ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Pelbagai acara menarik menanti anda!

June 25, 2014

Tawaran Menyertai Promosi Kraf Aidilfitri 2014 di AEON Ayer Keroh




TAWARAN MENYERTAI AKTIVITI JUALAN SEMPENA PROMOSI KRAF AIDILFITRI 2014 DI AEON AYER KEROH, MELAKA

Sukacita dimaklumkan Kraftangan Malaysia akan mengadakan Promosi Kraf Aidilfitri 2014 di:-

Tempat : AEON Ayer Keroh, Melaka 
Lokasi : Khemah, Parkir Kereta
Produk Jualan : Produk kraf, barangan aidilfitri serta makanan kering dan basah. 
Tarikh Jualan : 3 hingga 27 Julai 2014 (25 hari)
Masa : 10.00 pagi - 10.00 malam

Terbuka kepada semua Usahawan Kraf dan Usahawan Bukan Kraf (Perkhidmatan Aidilfitri). Sila hubungi kami di talian 06-253 1500 (Ridzwan/ Firdaus) untuk keterangan lanjut

June 09, 2014

Majlis Peragaan Busana Kraf Tekstil ‘Craft Rendezvous’



MELAKA, 7 JUN 2014 – Kraftangan Malaysia Cawangan Melaka hari ini mengadakan Majlis Peragaan Busana Kraf Tekstil ‘Craft Rendezvous’ yang dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Haji Idris bin Haji Haron, Ketua Menteri Melaka di AEON Bandaraya Melaka.

Hadir sama ialah Yang Berhormat Datuk Haji Ghazali bin Muhamad, Timbalan Exco Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau Negeri Melaka, Yang Berbahagia Datuk Haji Baharom bin Majid, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka, Yang Berbahagia Dato’ Mohd Kamil Mohd Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia serta Puan Aididah binti Ibrahim, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Melaka.

Penganjuran majlis ini bertujuan mempromosikan busana kraf tekstil tempatan serta produk kraf tempatan bagi memenuhi pasaran domestik dan antarabangsa. Malah kunjungan pelancong dari luar negara turut berpeluang melihat keunikan dan keindahan produk kraf tempatan yang dianjurkan di lokasi tumpuan ramai ini sempena Festival Antarabangsa Sungai Melaka.

Pada majlis ini, sebanyak 48 pasang (32 pasang pakaian wanita) dan (16 pasang pakaian lelaki) kraf tekstil daripada batik, songket dan tenun diperagakan. Segmen kraf batik dijayakan oleh enam (6) syarikat usahawan kraf dengan menampilkan rekaan fesyen terbaru bercirikan busana kasual dan rasmi. Usahawan-usahawan tersebut adalah Batik Selat, Ras Batik, D Waqaka Klasik, Seem Noor Batik, Fiq & Miz dan Faizui Collection. Usahawan-usahawan ini merupakan pempamer yang mengambil bahagian dalam aktiviti Jualan Promosi Kraf Malaysia 2014 sempena Festival Antarabangsa Sungai Melaka. Bagi segmen peragaan tekstil songket dan tenun pula, ia dijayakan dengan penglibatan para pereka dari Kraftangan Malaysia.

Promosi Kraf Malaysia 2014 sempena Festival Antarabangsa Sungai Melaka ini bermula pada 28 Mei – 8 Jun (12 hari) mulai jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam di Parkir Terbuka, AEON Bandaraya Melaka.

Aktiviti yang diadakan sepanjang Promosi Kraf Malaysia 2014 adalah seperti JUALAN KRAF oleh 45 usahawan daripada bidang tekstil, seramik, logam, hasil rimba dan aneka kraf serta PERSEMBAHAN KESENIAN yang menampilkan identiti dan budaya Negeri Melaka melalui kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN Melaka), Kumpulan Irama Warisan, Madrasah Darul Muttaqqin dan Gasing Lagenda Enterprise. Dalam pada itu juga, Kraftangan Malaysia Cawangan Melaka juga mengadakan DEMONSTRASI KRAF seperti pembuatan kasut, replika rumah, kraf manik dan gasing dari Negeri Melaka, acuan seramik dari Negeri Perak serta tenunan songket dari Negeri Terengganu sempena festival ini.