August 23, 2011

Salam Aidilfitri 1430H

Salam Aidilfitri Dari Warga Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Melaka Buat Semua Yang Mengenali.


Terdengar takbir Syawal tersedu
Bersalam-salaman penuh ceria
Kami di sini menumpang lalu
Mengucap salam Lebaran mulia

Fazil dan Shahron mandi di perigi
Aminah dan Rashidah menilik diri
Sinar Aidilfitri menjelma lagi
Masing-masing pakai berseri

Rizal orangnya sangatlah mesra
Bersama Shukri sering ketawa
Indah gembiranya berhari raya
Bersyukurlah kita nikmat yang ada

Lemah gemalai Aishah menari
Linda tersenyum cantik dipandang
Meriah berkumpul di Aidilfitri
Sahabat handai datang bertandang

Asrol bersiap berseri-seri
selepas bersiap ke rumah Adenan
Kami menyusun sepuluh jari
salah dan silap harap maafkan

Awal Syawal hari kemenangan
Firdaus dan Mohammad saling berkunjungan
Tahmid bertakbir erti ketenangan
Bagi insan penuh kekurangan

Berhati-hati dijalan raya
Pesan kami di PKKM Melaka
Sama-sama menyambut raya
Bermaaf-maafan di hari bahagia

~Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir Dan Batin
dari
PKKM Cawangan Melaka~

August 09, 2011

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1430H

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK 1430H


Tafsir Ayat
Allah S.W.T berfirman :
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertaqwa. (iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barangsiapa di antara kalian ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka) maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagi kalian, jika kalian mengetahui"
(Al-Baqarah: 183-184)

August 08, 2011

Program Pendidikan Kraf 1Malaysia


PROGRAM PENDIDIKAN KRAF 1MALAYSIA
PERBADANAN KEMAJUAN KRAFTANGAN MALAYSIA CAWANGAN MELAKA 2011

Program Pendidikan Kraf 1Malaysia telah berlangsung dengan jayanya pada 28 Julai 2011 yang lalu bermula jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang. Program ini diadakan bertujuan memberi pendedahan seterusnya melahirkan para pelajar yang berilmu dan berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan berketrampilan dalam bidang kraf khususnya bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dalam industri kraf negara masa kini.

Selain itu juga para pelajar diberi peluang supaya peka pada warisan kraf melalui proses pengajaran, penyelidikan dan pembangunan R&D, melalui aktiviti pendidikan kraf yang dijalankan.
Aktiviti Pendidikan Kraf yang telah dijalankan antaranya aktiviti mewarna Batik, mewarna Seramik, menganyam tikar mengkuang dan menganyam bakul rotan.

Aktiviti ini disertai kira-kira 300 orang murid diiringi guru masing-masing yang terdiri daripada sekolah-sekolah sekitar Melaka. Antara yang terlibat adalah pelajar dari sekolah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Jasin seramai 253 orang, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Alor Gajah seramai 8 orang dan Sekolah Jenis kebangsaan (C) Yok Bin, Melaka seramai 44 orang.
Ucapan pelancaran dan majlis perasmian dilaksanakan oleh Pegawai Daerah Alor Gajah Encik Idrus Bin Md Jani.

Cik Nur Aslindawati selaku pengacara majlis pada program perasmian ini.

Doa dibacakan oleh En. Mohamad @ Husin bagi memberkati program perasmian pada pagi tersebut.

Seterusnya En. Ahmad Fazil Bin Zakaria, Pengarah PKKM Cawangan Melaka menyampaikan sepatah dua kata.

En. Idrus Bin Md Jani Pegawai Daerah Alor Gajah menyampaikan ucapan beliau seterusnya merasmikan Program Pendidikan Kraf 1 Malaysia PKKM Cawangan Melaka bagi tahun 2011.

Barisan Kakitangan PKKM Cawangan Melaka, Tenaga Pengajar Pendidikan Kraf , Guru-guru dan seterusnya para pelajar mendengar amanat dari En. Idrus dan En. Ahmad Fazil.


Simbolik perasmian dilaksanakan oleh En. Idrus Md Jani dengan menggunting riben pada kain rentang Program Pendidikan Kraf 1Malaysia yang dihasilkan menggunakan Batik Canting.

Cenderamata istimewa iaitu Bakul Berkat disampaikan oleh En. Ahmad Fazil kepada En. Idrus sebagai tanda penghargaan sebelum majlis berakhir.

Selesai Majlis Perasmian, En. Ahmad Fazil mengiringi En. Idrus melawati Galeri Pameran PKKM Cawangan Melaka.

Seterusnya En. Idrus dibawa ke khemah pendidikan Kraf Mewarna Seramik, Anyaman Mengkuang dan Anyaman Rotan. Disini beliau diberi penerangan ringkas oleh Hajah Nor Rashidah, Pereka PKKM Cawangan Melaka yang mengiringi beliau.

En. Idrus tertarik dengan hasil kerja para pelajar dalam aktiviti pendidikan Kraf Mewarna Batik.

En. Mohd Nur Idris dari syarikat Dak Nor Collection dan Cik Nadia Najib dari syarikat NNS De Clothing selaku tenaga Pengajar bagi aktiviti mewarna batik.

Pelajar dari MRSM Tun Ghafar Baba Jasin, tekun menyiapkan hasil kerjanya mewarna Batik Canting.

Hasil kerja para pelajar yang hampir siap mewarna batik.

Pelajar dari Sekolah Jenis kebangsaan (C) Yok Bin, Melaka turut menunjukkan bakat beliau mewarna batik.

Aktiviti mewarna seramik mendapat perhatian para pelajar. Para pelajar dibekalkan tabung seramik berbentuk ayam dan biri-biri.

Para pelajar mewarna seramik dengan kreativiti masing-masing.



Turut diadakan demonstrasi pembuatan seramik oleh Cik Rozana dari syarikat Bendang Studio dan jualan produk seramik seperti fridge magnet, pin, dan hiasan.

Puan Khamsiah dari syarikat Sabenar Sinar Enterprise sebagai tenaga pengajar Anyaman Rotan.

Puan Khamsiah turut menjual pelbagai produk berasaskan Anyaman Rotan.



Puan Melati Binti Baharom dari Busu Malati Enterprise selaku tenaga pengajar Anyaman Mengkuang.


Para pelajar membuat pelapik cawan berasaskan Anyaman Mengkuang.


Hasil kerja para pelajar boleh dibawa pulang sebagai kenang-kenangan dan tanda hasil kreativiti mereka seharian sempena Program Pendidikan Kraf 1 Malaysia.


Adalah menjadi harapan, Program Pendidikan Kraf 1Malaysia anjuran Kraftangan Malaysia Cawangan Melaka akan mendapat maklumbalas positif terutamanya pelajar-pelajar serta generasi muda supaya menyayangi dan mencintai seni kraf warisan bangsa yang mempunyai nilai-nilai kehalusan dan tidak hilang ditelan zaman. Sekian.